SuhanPost @ Youtube

WEBSITE UNDER CONSTRUCTION

WEBSITE UNDER CONSTRUCTION

02 August 2011

Telemovie PELAMIN DI PUSARA @ HarianMetro (myMetro)



NEWS : Sumber dari myMetro 


HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Pepatah Melayu ini cukup indah dan mendalam maknanya. Begitulah juga kesimpulannya terhadap bakti dan keringat seni yang ditinggalkan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee. Hingga kini, karya Allahyarham masih segar dan diminati.

Biarpun, sudah 38 tahun P Ramlee bersemadi, namun bagi penggiat dan karyawan seni tanah air, Allahyarham tiada galang ganti.

Malah, tidak salah dikatakan P Ramlee menjadi sumber inspirasi dan pemangkin semangat anak seni generasi baru berkarya.


Buktinya, bukan saja pada filem, tetapi lagu P Ramlee diangkat sebagai bahan rujukan dan antaranya digarap menjadi skrip yang hebat. Itulah yang dilakukan Mazlan Manan.



Menerusi lagu Uda dan Dara, ia diterjemahkan menjadi kisah cinta tragik.

Bersandarkan inisiatif produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik aktor terkenal, Rosyam Nor, 10 telefilem terbaik berasas lagu berbeza akan menemui penonton sekitar September ini di TV2.

Dan menariknya, telefilem istimewa dihasilkan itu mendapat sentuhan 10 pengarah ternama.

Apapun, baru-baru ini Harian Metro berkunjung ke lokasi penggambaran telefilem keempat istimewa ‘tribute to P Ramlee’, Pelamin Di Pusara yang skripnya digarap daripada lagu Uda dan Dara arahan Murali Abdullah di Kampung Kenangan, Batu 13, Puchong, Selangor.

Babak di kampung itu membabitkan ibu bapa Zamarul datang ke rumah Maisara untuk memberi amaran kepada gadis berkenaan supaya meninggalkan anak lelaki mereka.

Ini kerana, Zamarul sudah bertunang dan akan berkahwin dengan calon pilihan mereka, Suraya.

Ibu bapa Zamarul turut memberikan sejumlah wang kepada Maisara. Apapun, pada masa sama Zamarul tiba-tiba muncul di rumah Maisara untuk memberi penjelasan sebenar.

Zamarul bertemu dengan ibu Maisara memaklumkan keikhlasan cintanya.

Zamarul juga menjelaskan kepada Maisara bahawa dia tiada niat untuk mempermainkan gadis itu.

Zamarul sangat mencintai Maisara dan tidak mahu mengahwini Suraya yang hanya mahu menjadikan dia ‘pak sanggup’ kerana sudah mengandung.

Bersesuaian dengan kisah percintaan antara pemuda bandar dan gadis kampung, Pelamin Di Pusara mengetengahkan dilema percintaan yang terhalang dan tak direstui keluarga. Ia disebabkan perbezaan darjat dan jodoh diaturkan ibu bapa.





Sebagai pengarah berpengalaman, Murali ketika ditemui di lokasi telefilem itu berkata, ia drama berat yang perjalanan ceritanya teratur dan teliti.

Malah, dialog juga tersusun serta penonjolan karakter yang bagus. Ia satu karya mantap dan berkesan.

“Apapun, cabaran besar kepada saya untuk menghasilkan telefilem ini ialah kerana ia istimewa mengingati P Ramlee. Justeru, ia seharusnya mencerminkan P Ramlee itu sendiri. Jadi, apa yang penting bagi saya adalah pemilihan pelakon yang tepat.

“Selain itu, saya turut memastikan pasukan produksi yang mampu memberikan komitmen terbaik. Oleh itu, terima kasih kerana penerbit, Rosyam memberi ruang kepada saya memilih pasukan produksi sendiri. Saya gembira dapat bekerjasama dengan Indra Che muda.

“Bersandarkan pada pengalaman Indra di layar perak, saya sememangnya inginkan dia menyertai penghasilan telefilem ini. Apa yang pasti, pelakon dan semua kru produksi memberikan kerjasama baik. Ia cukup melegakan saya,” katanya.




Memaklumkan ia adalah kerjasama sulung antaranya dan Suhan Movies, Murali berkata Rosyam juga bertolak ansur dengan memberikannya tempoh 10 hari untuk menyiapkan penggambaran telefilem itu.

Ujarnya, tempoh berkenaan cukup memadai untuknya berkarya.

“P Ramlee adalah idola saya sejak kecil. Allahyarham dan karyanya menjadi sumber inspirasi saya. Oleh itu, apabila mendapat peluang menghasilkan telefilem istimewa untuk P Ramlee, semestinya saya menginginkan hasil terbaik,” ujarnya.

Barisan pelakon yang menjadi pilihan Murali untuk Pelamin Di Pusara ialah Shahz Jazle, Raja Farah Raja Aziz, Diana Johor, Nanu Baharuddin, Khairil Anwar dan Rashidah Jaafar.

Menyorot sinopsis Pelamin Di Pusara, ia mengisahkan Zamarul lakonan Shahz Jaszle, anak orang kaya yang ditunangkan ibu bapanya dengan gadis pilihan keluarga, Suraya (Diana Johor). Seorang anak yang taat, Zamarul mengikut saja rancangan ibu bapanya.

Sekalipun tiada perasaan cinta terhadap Suraya.

Namun, pertemuan secara kebetulan antara Zamarul dan Maisara (Raja Farah) banyak mengajarnya erti cinta.

Namun, hubungan mereka mendapat tentangan keluarga termasuk Suraya yang sakit hati.

Justeru, sejauh manakah hubungan cinta Zamarul dan Maisara mampu bertahan? Apakah Zamarul akan memilih mengahwini Suraya? Pelamin Di Pusara sebuah kisah percintaan tak kesampaian pastinya akan mengundang emosi sedih di hati penonton.




INFO:

TELEFILEM: Pelamin Di Pusara
PRODUKSI: Suhan Movies & Trading Sdn Bhd
PENERBIT: Rosyam Nor Shamsuddin
PENULIS SKRIP: Mazlan Manan
PENGARAH: Muhammad Murali Abdullah
PENYUNTING: Romizal Mohamad Haji Rosle
PENOLONG PENGARAH/KONTI: Othman Basri
PENGARAH FOTOGRAFI: Indra Che Muda Redzuan
KESINAMBUNGAN: Darul Izham Abdul Wahab
PENGURUS PRODUKSI: Zahari Shaari
PROPS MASTER: Mohamad Khairul Md Dan
SOLEKAN/WARDROBE: Hanafiah Abdul Majid (Mizse Majid)
JURUGEGAS: Radzmi Rico
PELAKON: Shahz Jazle, Raja Farah, Diana Johor, Nanu Baharudin, Kharil Anuar dan Rashidah Jaafar
STESEN TV: Radio Televisyen Malaysia (RTM - TV2)
TARIKH SIARAN: September hingga November sempena Tribute Allahyarham Tan Sri P Ramlee


***  copyright  www.suhanpost.com  ::   admin@suhanpost.com

No comments: